Friday 4 March 2011

tips mengejar A+

TIPS GURU
Strategi Mengejar 1A dalam Prinsip Perakaunan SPM

Untuk mengejar 1A, pelajar sudah semestinya sudah menguasai hampir kesemua kemahiran perakaunan dalam Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.
Bagaimana pula bagi pelajar yang kurang berkemahiran? Di sini cikgu boleh mencadangkan beberapa perkara yang harus dilakukan pelajar walaupun ia tidak menguasai semua kemahiran.
 KERTAS 1
1.Baca dulu semua nota atau buku rujukan sekurang-kurangnya 2 kali. Selepas itu, pelajar buat drilling, iaitu menumpu kepada soalan-soalan objektif (aneka pilihan) dalam mana-mana buku latihan seperti set klon soalan SPM dan sebagainya. Pastikan juga pelajar melakukan aktiviti itu mengikut tempoh masa sebenar iaitu 1 jam 15 minit. Selepas tamat sesi menjawab Kertas 1, semak jawapan sendiri dan kenal pasti soalan mana yang salah dan buat semakan dalam buku teks/rujukan untuk mengetahui jawapan sebenar. Pada sesi lain, jawab set 2 dan lakukan perkara yang sama. Sesi seterusnya, jangan jawab set 3, sebaliknya jawab set 1. Tujuannya ialah untuk menguji sama ada pelajar telah mengingati atau tidak kesalahan yang lalu dan sama ada telah mahir kaedah jawapan yang betul.
Untuk memperoleh 1A, sebaiknya pelajar dapat mengumpul sekurang-kurangnya 25 soalan betul dari 40 soalan. Ini bermakna anda telah megumpul 25/120 markah. Sudah tentu lebih baik lagi jika, dapat markah penuh, iaitu 40/40!
 KERTAS 2 (penting kepada penggemar 1A)
2.Soalan 1, yang lebih dikenali sebagai soalan 'kitaran perakaunan' menjanjikan markah terbesar, 28-30 markah. Untuk 1A sudah tentu pelajar mesti menguasai simpan kira. Simpan kira? Ya, pelajar-pelajar, sebenarnya soalan 1 masih lagi menguji kemahiran simpan kira pelajar SPM. Simpan kira sebenarnya mudah, ianya cuma menguji keupayaan pelajar membuat catatan di dalam Buku Catatan Pertama (selalunya 8-10 markah), kemudiannya mengepos ke lejar (10-14 markah), dan akhir sekali menyenaraikan akaun-akaun di dalam imbangan duga (8-10 markah). Berikan penumpuan kepada Buku Catatan Pertama terlebih dahulu terutamanya bagaimana menyediakan Buku Tunai. Jurnal-jurna am selalunya menghadiahkan 3 markah, disusuli Jurnal khas seperti Jurnal Belian (1-1.5 markah), Jurnal Jualan (1-1.5 markah), dan kadang kala Jurnal Pulangan Jualan atau Jurnal Pulangan Belian (1 markah). Buku Tunai adalah terpenting kerana menghadiahkan 5-7 markah.Kemahiran Lejar agak terhad pengujiannya. Peringkat SPM tidak mewajibkan pelajar menyediakan Buku Lejar Khas. Pengimbangan akaun juga tidak dimestikan, malahan tiada markah. Oleh itu, pelajar-pelajar sederhana juga boleh mencapai 1A jika dapat menumpukan kepada kemahiran catatan bergu, dan jimatkan masa dengan mengimbangkan akaun-akaun yang mempunyai 2 atau lebih item.
Penyediaan Imbangan Duga tidak memerlukan kemahiran tertinggi, cukup sekadar mengetahui bahawa semua baki akhir semua akaun di dalam buku lejar dan BUKU TUNAI di salin dan disenaraikan mengikut format penyediaan Imbangan Duga. Kepada pelajar-pelajar sederhana, jangan terlalu risau kenapa Imbangan Duga tidak imbang, semak kalau-kalau tertinggal diskaun diterima/diberi, aset dalam catatan pembukaan atau terlupa buku tunai. ID yang seimbang juga tidak menjanjikan ketepatan jawapan, mana tau ada kesilapan tak ketara. Kepada pelajar-pelajar cekap, sudah tentu Imbangan Duga pasti imbang, dan ia menimbulkan kepuasan yang mendalam.
3.Selepas kemahiran utama di asah untuk soalan 1, pelajar-pelajar bolehlah menumpukan kepada soalan 2, yang selalunya menjanjikan pulangan markah kedua tertinggi, 16-18 markah. Soalan 2 juga mudah diramal, ianya kerap kali akan menyentuh kemahiran:
a. Penyediaan Lembaran kerja
b. Penyediaan Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-kira milikan tunggal.
c. Penyediaan Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-kira perniagaan perkongsian.
Perkara a. dan b. sebenarnya tersangat mudah diramal. Ianya mesti menguji kemahiran pelajar membuat pelarasan yang berkaitan dengan:
i.    belanja belum bayar/terakru atau terlebih bayar/terdahulu, atau
ii.   hasil belum diterima/terakru atau hasil terima dahulu/terdahulu, dan
iii.  Penyediaan peruntukan hutang ragu, semestinya selepas hutang lapuk ditolak, dan
iv.  pengiraan dan pelarasan peruntukan susut nilai aset bukan semasa (1 aset shj) dan belanja susut nilai. dan
v.   memasukkan stok akhir, pilih nilai terendah antara kos asal atau nilai pasaran, dan
vi.  kadang kala hutang lapuk.

Perkara yang sama juga di uji dalam perkara c. dengan pengujian menumpu kepada akaun pengasingan untung rugi. Pelajar harus mengingat bahawa dalam Akaun PUR, sebelah kredit ialah Faedah atas ambilan, sebelah debit ialah Faedah atas Modal, Gaji Pekongsi, Elaun Pekongsi.
4.Daripada tips di atas, jika pelajar dapat merealisasikan strategi ini, pelajar telahpun mengumpul markah iaitu 25 + 29 + 18 = 72 markah. Ditukar kepada peratus, 72/120 x 100% = 60 markah. Selalunya ia telahpun meletakkan pelajar dalam keadaan selesa, status kepujian dalam tangan, mungkin 5C, 4C atau lebih tinggi lagi. Persoalan sekarang nak dapatkan 1A, maka perlu sekurang-kurangnya 20 markah. Mana nak dapat sebanyak tu?
5.Untuk memperoleh 20 markah, pelajar terpaksalah berusaha lebih, iaitu menguasai bab-bab dalam T5 pula. Apa bab yang ingin dikuasai, bergantung kepada persepsi pelajar sendiri. Namun begitu pelajar bolehlah mengkaji analisis agihan soalan peperiksaan tahun-tahun lepas dan membuat keputusan yang lebih analitikal. Kepada cikgu, pelajar bolehlah melihat-lihat kalau-kalau belanjawan tunai akan ditanya tahun 2007 ini. Begitu juga dengan akaun kawalan kerana dah lama tidak ditanya.Nah, cikgu sudahpun mengutarakan tips bagaimana nak mengatur strategi untuk mengumpul markah. Apa yang harus kamu lakukan pula ialah untuk mengatur strategi belajar pula. Apalah maknanya mengetahui soalan yang akan ditanya jika strategi belajar diabaikan. Belajar 15-17 jam seminggu untuk semua subjek mungkin sesuai untuk pelajar. Darinya, sediakan sekurang-kurangnya 1-3 jam seminggu  untuk memantapkan kemahiran anda.

No comments:

Post a Comment